Share on FacebookTweet about this on TwitterPin on PinterestShare on RedditDigg thisShare on LinkedInShare on StumbleUponShare on Google+Email this to someoneShare on TumblrBuffer this pageShare on VKShare on YummlyFlattr the authorPrint this page

Kepentingan Menjaga Kesihatan Diri.

“Wahai Allah, kayakanlah aku dengan ilmu, hiasilah diriku dengan keindahan budi pekerti, muliakanlah aku dengan ketakwaan dan baikkanlah aku dengan kesihatan”

Individu cemerlang perlu menjaga kesihatan. Kesihatan amat penting kepada kita kerana dengan mempunyai kesihatan yang baik, kita dapat menumpukan pelajaran dengan sempurna. Badan yang sihat dapat menghasilkan otak yang cergas. Beriku merupakan kaedah untuk menjaga kesihatan diri.

Bersenam.

Kita harus memperuntukkan masa lebih kurang satu jam sehari untuk melakukan aktiviti senaman. Bersenam di bawah cahaya matahari adalah baik untuk kesihatan.

Faedah Bersenam:

Apabila kita bersenam, otot-otot badan akan menjadi sihat dan cergas. Peredaran dalam badan menjadi lebih lancar. Senaman juga dapat mengurangkan lemak yang berlebihan dalam badan dan dapat mengatasi masalah kegemukan.

Cara:

1. Berjogging atau berjalan kaki sejauh lebih kurang 1 km sehari.

2. Digalakkan bermain permainan tertentu secara berkumpulan. Aktiviti ini akan menaikkan semangat kita untuk terus melakukannya hari-hari berikutnya.

Makan Makanan Sihat.

Untuk menjadi individu yang sihat, kita memerlukan makanan yang sesuai. Makanan yang dimakan akan digunakan untuk membina badan dan menghasilkan tenaga. Untuk menjadi individu yang cemerlang kita memerlukan makanan yang berkhasiat,mencukupi, lengkap dan mengikut masa. Badan yang kekurangan zat makanan akan menjadi lemah dan mudah diserang penyakit.

Zat makanan boleh dikelaskan kepada beberapa jenis seperti protein, karbohidrat, vitamin, lemak dan garam mineral. Keseluruhan jenis zat makanan ini adalah penting untuk kita kerana kekurangan salah satu daripadanya akan menyebabkan pelajar mudah diserang penyakit.

1. Karbohidrat

Untuk mengahasilkan tenaga. Pelajar yang kekurangan karbohidrat akan menjadi lemah dan tidak bertenaga.

2. Protein

Diperlukan untuk proses pembinaan badan terutamnya tisu-tisu otot bagi pembinaan kulit dan pertumbuhan badan keseluruhannya. Individu yang kekurangan protein akan menjadi kurus, lemah dan mudah mendapat penyakit.

Tips Pemakanan.

Elakkan dari terlalu makan sejenis makanan secara berlebihan. Seringkali terdapat individu yang suka memakan sejenis makanan tertentu sahaja dengan banyak supaya ia mengenyangkan.

Contohnya mengambil makan makanan yang berlemak sahaja tanpa memakan makanan yang mengendungi protein, vitamin dan garam galian. Amalan ini perlulah dihentikan kerana ia akan memberikan kesan yang buruk kepada badan kita.

Sihat Mental,Emosi Dan Sosial.

Selain daripada kesihatan fizikal, kita juga perlu mempunyai kesihatan mental, kesihatan emosi dan kesihatan sosial yang baik. Kesihatan mental adalah berkaitan dengan pemikiran kita. Inividu yang mempunyai kesihatan mental yang baik akan berfikir dengan sempurna dan membuat keputusan dengan baik.

Kesihatan Emosi.

Kesihatan emosi melibatkan kesihatan perasaan dan sikap. Seseorang yang mempunyai sikap yang positif dan perasaan yang sentiasa riang dan tenang. Apabila menghadapi masalah, mereka akan menyelesaikan masalah itu dengan cara yang betul.

Punca-punca masalah itu akan dikenal pasti dan beberapa alternatif kaedah penyelesaian akan difikirkan. Kita mesti yakin kepada kebolehan diri kita sendiri dan harus ingat setiap masalah ada jalan penyelesaiannya.

Kesihatan Sosial.

Kesihatan sosial pula melibatkan orang sekeliling kita. Kita harus menghormati orang lain terutamanya ajaran ibu bapa, guru, orang dewasa dan orang yang lebih tua daripada kita. Sekiranya terdapat masalah berbincanglah dengan mereka. Mungkin masalah yang kita hadapi telahpun pernah dilalui oleh mereka. Oleh itu kita perlu mengemukakan masalah bukannya membiarkan masalah yang kita hadapi terpendam tanpa diselesaikan.

Tidur Yang Mencukupi.

Selain daripada itu, badan kita memerlukan rehat dan tidur yang mencukupi. Orang yang tidak cukup tidur akan menjadi lemah dan tidak bermaya. Berehat adalah cara yang terbaik untuk memulihkan tenaga. Individu yang cemerlang dan hebat akan merencana aktiviti harian sendiri dengan memastikan dirinya memperolehi waktu rehat yang cemerlang dan mencukupi. Selepas kita menjalankan pelbagai aktiviti, kita akan merasa penat. Kita mungkin akan merasa mengantuk kerana badan kita kehilangan tenaga. Apabila kita letih, paru-paru dan jantung kita akan berdenyut dengan lebih cepat. Jadi untuk memulihkan kembali tenaga kita perlu berehat.Salah satu cara untuk berehat ialah dengan tidur. Adalah mustahak bagi pelajar untuk tidur lebih kurang 1 jam pada siang hari untuk memulihkan tenganya. Masa yang paling sesuai ialah antara 2.00 hingga 3.00 petang sebelum pelajar mulakan mengulangkaji pelajaran pada sebelah petang. Apabila kita tidur, otot-otot yang penat dapat dipulihkan dan otak kita juga dapat berehat. Selepas tidur, otak kita kan kembali segar dan pelajar dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada studi.Tidur yang tidak mencukupi akan menyebabkan badan menjadi lemah dan  tidak bermaya. Kesannya  kita tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran atau kerjaya. Tidur yang pula akan menyebabkan kita letih dan kurang cergas.

Jangan Guna Pil Tidur.

Individu  cemerlang tidak akan sekali-kali menggunakan pil tidur. Menggunakan pil tidur adalah satu amalan yang membahayakan kesihatan. Jika seseorang mempunyai masalah untuk tidur bermakna pelajar diganggu beberapa masalah atau menghadapi penyakit imsonia.

Untuk mendapatkan tidur yang nyenyak, kita mestilah tidur dalam persekitaran yang bersih dan selesa. Seseorang tidak memerlukan bilik tidur yang luas dan dilengkapi perabot moden, memadai dengan bilik tidur yang teratur, bersih dan selesa sebagai tempat berehat. Di samping itu, tidur dengan perut yang kosong, fikiran yang runsing atau terlalu gembira juga menyebabkan kita susah untuk melelapkan mata.

Individu cemerlang sedar bahawa berehat tidak bermakna tidur. Selain daripada tidur, seseorang boleh melakukan berbagai cara untuk berehat. Lakukan aktiviti-aktiviti ringan yang tidak menggunakan banyak tenaga dan minda. Contohnya membaca akhbar, majalah hiburan, menonton program tv seperti kartun, panduan memasak atau lawak jenaka. Kita juga boleh pergi berjalan di taman-taman bunga untuk menghirup uadara nyaman.

Tidak Terlibat Dalam Gejala Negatif.

Individu cemerlang juga tidak akan terlibat dengan aktiviti merokok dan minum minuman yang mengkhayalkan apalagi berkawan dengan golongan yang menghisap dadah. Mengapakah seseorang itu merokok? Kebanyakan orang mula merokok apabila dipelawa oleh kawan-kawan. Mereka merasa malu untuk menolaknya kerana takut dijadikan bahan ejekan. Mahu tidak mahu, mereka terpaksa juga merokok walau apabila ‘first time’ merokok rasanya amat janggal dan tidak enak. Mereka akan merasa janggal,malu dan kekok berada di sekeliling kawan yang kesemuanya merokok.

Tidakkah anda tahu yang merokok membahayakan kesihatan? Sedarkah kita bahawa terdapat 100 000 orang yang mati setiap tahun di United kingdom akibat penyakit yang berkaitan dengan merokok?

Kebanyakan individu merokok kononnya untuk mendapatkan ketenangan dan menghilangkan rasa bosan. Ada juga yang merasakan mereka lebih matang apabila merokok. Sedarkah anda di dalam rokok terdapat nikotin iaitu sejenis dadah yang boleh menyebabkan ketagihan?

Apabila kita menghisap rokok, maka nikotin akan diserap ke dalam darah dan dibawa ke otak. Kesannya perubahan kimia berlaku dalam otak yang menyebabkan rasa ketagihan. Nikotin yang terdapat dalam rokok akan meningkatkan kadar denyutan jantung dan tekanan darah serta menyebabkan perut mengeluarkan lebih asid. Selain daripada nikotin, rokok juga mengandungi jelaga, karbon monoksida, tar dan berbagai campuran bahan kimia.

Karbon monoksida akan berpadu secara kimia dengan hemoglobin iaitu sejenis bahan merah yang membawa oksigen ke seluruh badan. Kesannya menyebabkan oksigen yang dibawa ke sel darah berkurangan dan menyebabkan tisu-tisu badan kekurangan oksigen. Apabila kita menyedut asap rokok, jelaga dan tar akan berkumpul di paru-paru. Nikotin diserap melalui paru-paru dan dibawa ke otak melalui aliran darah. karbon monoksida pula menyerap masuk ke dalam darah. Kesan yang besar akibat merokok ialah seseorang itu akan diserang penyakit jantung dan berbagai jenis penyakit lain.

Kesan:

1. Menambahkan jumlah bahan berlemak dalam darah dan menyebabkan darah menjadi bertambah pekat.

2. Jantung terpaksa bekerja lebih kuat untuk mengepam darah ke seluruh badan melalui kapilari yang halus.

3. Semakin lama seseorang merokok maka semakin banyak bahan berlemak terkumpul pada dinding pembuluh darah.

4. Akibatnya pembuluh darah menjadi bertambah sempit dan bekalan darah ke tisu jantung akan terhalang.

5. Jantung akan rosak dan gagal berfungsi dengan cekap menyebabkan individu akan diserang penyakit jantung.

6. Individu yang menghisap rokok juga 25 kali lebih senang diserang penyakit kanser paru-paru berbanding individu yang tidak merokok.

7. Lebih awal pelajar mula merokok maka lebih besar risiko pelajar tersebut diserang penyakit paru-paru. Sebenarnya penyakit ini adalah disebabkan oleh tar yang melekat terlalu lama pada tisu paru-paru hingga menyebabkan kanser.

8. Diserang penyakit bronkitis  dan emfisema. Bronkitis terjadi apabila saluran yang menuju ke paru-paru tersekat manakala emsifema adalah disebabka oleh tisu paru-paru yang rosak. Daripada kajian didapati 90% kematian akibat bronkitis dan emfisema berlaku di kalangan penghisap rokok.

9. Terpaksa menghabisakn sejumlah wang yang banyak untuk membeli rokok.

10. Perbuatan merokok bukan sahaja akan menbahayakan diri pelajar tetapi juga kawan-kawan yang berada disampingnya.

Jauhkan Diri Dari Perokok.

Apabila kita berada di samping kawan yang merokok, kita akAn menyedut udara yang mengandungi asap rokok itu. Akibatnya kita mungkin tidak sedar yang kita sebenarnya merokok tiap-tiap hari walaupun kita semua tidak merokok. Sedarkah kita yang asap rokok yang disedut itu kesannya lenih buruk dari kawan kita yang merokok? Apabila kawan kita menyalakan rokoknya, hanya 25% sahaja asap rokok yang disedutnya manakala 75% lagi disedut oleh kawan-kawan yang berada disekelilingnya.

Kawan kita yang merokok akan menghembuskan kembali asap rokok itu yang seterusnya akan dihidu oleh kita yang berada disebelahnya. Asap rokok yang disedut yang disedut oleh kawan yang merokok adalah asap rokok yang telah ditapis oleh penapis dalam rokok itu sedangkan asap yang dihidu oleh kita tidak bertapis. Sebenarnya kita menghidu tiga kali lebih banyak nikotin dan tar berbanding dengan kawan kita yang menghisap rokok. Kita juga menghidu lima kali lebih banyak karbon monosida dan 50 kali lebih banyak bahan-bahan kimia. Di samping itu, darah kita juga akan mengandungi lebih banyak nikotin, karbon monoksida dan bahan-bahan kimia. Merokok bukan sahaja membahayakan kesihatan individu  tetapi menganiaya kawan-kawan yang tidak merokok.

Jadi secara keseluruhannya merokok adalah amalan yang dilarang kepada pelajar kerana perbuatan merokok langsung tidak mempunyai kebaikan malah terlalu banyak keburukan, di antaranya:

1. Merokok Menjejaskan Akal.

Merokok akan merosakkan kecerdasan dan perkembangan akal pelajar serta melemahkan keupayaan mengingat.

2. Merokok Membahayakan Kesihatan.

Berdasarkan kajian, merokok membahayakan kesihatan tubuh badan seseorang dan menjadi punca kepada berbagai penyakit berbahaya seperti yang telah dibincangkan. Rokok mebantut perkembangan fizikal, mengganggu kesihatan dan membawa berbagai penyakit.

3. Merokok Membahayakan Keselamatan Diri dan Orang Lain

Individu yang merokok boleh membahayakan diri sendiri seperti melibatkan kemalangan di jalan raya, kebakaran rumah dan lain-lain lagi. Individu yang merokok ketika memandu atau menunggang motosikal akan menyebabkan mereka berkeadaan separuh khayal dan tidak menumpukan perhatian kepada motosikal yang dipandunya. Keadaan ini bukan sahaja membahayakan diri mereka bahkan juga keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Individu yang menghisap rokok juga sering membuang puntung rokok di merata-rata tempat. Ini bukan sahaja mencemarkan alam sekitar tapi juga boleh mengakibatkan kebakaran.

4. Merokok Membahayakan Keturunan

Berdasarkan kajian telaah didapati individu yang merokok akan membahayakan kepada bakal zuriatnya. Ibu-ibu yang merokok akan mengakibatkan anak yang dilahirkan kurang dari segi kecerdasan akal dan perkembangan fizikalnya.

5. Merokok Mengganggu Orang Lain

Sebagaimana yang telah dibincangkan, merokok bukan sahaja membahayakan diri seseorang yang merokok tapi juga membahayakan orang yang berdampingan dengan orang yang merokok.

6. Merokok Menimbulkan Akhlak Buruk

Merokok mengajar seseorang ke arah berakhlak buruk seperti bermegah, sombong dan takbur. Individu yang merokok akan menunjuk-nunjuk kepada kawan-kawan yang tidak merokok. Kononnya dia adalah orang yang lebih matang, mempunyai banyak wang dan megah kerana orang lain tidak merokok.

7. Merokok Merugikan Waktu Hidup

Merokok bukan sahaja memendekkan umur tetapi juga banyak masa yang terbuang. Banyak masa dihabiskan dengan aktiviti-aktivit yang bersangkutan dengan merokok seperti membeli rokok, mencari api rokok, bekas habuk rokok dan lain-lain lagi.

8. Merokok Membazirkan Wang.

Individu yang merokok akan menggunakan wang secara membazir. Merokok bermakna seseorang menghisap dan membakar tembakau dengan sia-sia kerana tidak ada apa-apa keuntungan akan diperolehi. Sebaliknya merokok akan melatih diri seseorang agar bersifat membazir dan boros.

Tidak Terlibat Dalam Gejala Negatif : Menghisap Dadah.

Selain tidak merokok, kita juga akan menjauhkan dirinya dari menghisap dadah. Sebenarnya terdapat banyak sebab mengapa seseorang menghisap dadah. Lazimnya individu mengambil dadah kerana ingin mencuba. Pada fikiran mereka apa salahnya mencuba sedikit dadah, sekurang-kurangya boleh mengetahui bagaimana rasanya.

Apabila mereka mencuba kali pertama, mereka akan khayal dan merasai keseronokan yang sangat hebat. Keadaan ini akan mendorong individu untuk merasai lagi keseronokan itu sehinggalah mereka mulai ketagih jika tidak mengambil dadah. Pada permulaan, mereka mula berjinak dengan dadah secara menghidu gam atau pelarut tertentu. Apabila sampai pada peringkat yang lebih serius, mereka beralih kepada kanabis dan kokain.

Individu yang menghisap kanabis dan kokain akan khjayal dan teransang. Kesan ini bagaimanapun tidak bertahan lama menyebabkan mereka menjadi pemarah dan gelisah. Mereka akan mengalami kesukaran untuk tidur, timbul rasa letih dan tertekan.

Kesan Pengambilan Kanabis:

1. Menjejaskan daya penumpuan dan penyelarasan pelajar.

2. Kadar denyutan nadi meningkat

3. Mata menjadi merah

4. Mulut serta kerongkong menjadi kering.

5. Dijangkiti barah paru-paru.

6. Menghadapi risiko dijangkiti berbagai jenis penyakit seperti hepatitis dan AIDS.

Sejak akhir-akhir ini terdapat juga sebilangan pelajar yang terlibat dengan minuman keras atau alkohol. Sebagaimana dengan nikotin dalam rokok, alkohol adalah sejenis dadah yang mempunyai kesan yang kuat terhadap otak. Alkohol sebenarnya adalah ȅdepresaní. jika diambil sedikit, ia akan memberikan ketenangan tapi jika diambil banyak akan menyebabkan pelajar menjadi mengantuk. Bahkan jika diambil berterusan pelajar menjadi ketagih dan tidak dapat hidup tanpa alkohol. Pelajar akan mengalami risiko kerosakan hati dan organ-organ lain.

Tidak Terlibat Dalam Gejala Negatif : Pengambilan Alkohol.

Sebenarnya alkohol tidak mempunyai nutrien yang berguna. Individu  yang meminum alkohol mungkin mengalami malnutrisi. Apabila mereka meminum alkohol, paras alkohol dalam darah akan meningkat dengan cepat sehinggakan hati tidak berupaya untuk menyingkirkannya. Ini menyebabkan hati seseorang menjadi rosak dan tidak dapat menyingkirkan alkohol secara cekap. Minuman alkohol juga akan melambatkan kerja-kerja yang dilakukan oleh otak.

Kesan

1. Otak tidak dapat berfungsi dengan sempurna

2. Emosi atau perasaan pelajar menjadi tidak terkawal.

3. Memperlahankan tindak balas

4. Menyebabkan pelajar kehilangan koordinasi.

5. Kerosakan hati

6. Dijangkiti radang perut, ulser, kanser tekak dan kanser perut.

7. Menyebabkan tekanan darah itnggi, dan kerosakan jantung.

8. Menjadi murung dan diserang oleh penyakit-penyakit psikiatrik.

9. Alkohol juga akan mengurangkan kesuburan dan menyebabkan peminumnya sukar untuk hamil bila berkeluarga.

Rumusan.

1. Individu cemerlang perlu menjaga kesihatannya

2. Selain daripada kesihatan fizikal, seseorang perlu mempunyai kesihatan mental, kesihatan emosi dan kesihatan sosial yang baik.

3. Individu cemerlang memerlukan tidur yang mencukupi untuk menjaga kesihatannya.

4. Individu cemerlang juga tidak akan terlibat dengan aktiviti merokok dan minum minuman yang mengkhayalkan, menghisap dadah minum minuman beralkohol dan menggunakan pil tidur.

Share on FacebookTweet about this on TwitterPin on PinterestShare on RedditDigg thisShare on LinkedInShare on StumbleUponShare on Google+Email this to someoneShare on TumblrBuffer this pageShare on VKShare on YummlyFlattr the authorPrint this page