Share on FacebookTweet about this on TwitterPin on PinterestShare on RedditDigg thisShare on LinkedInShare on StumbleUponShare on Google+Email this to someoneShare on TumblrBuffer this pageShare on VKShare on YummlyFlattr the authorPrint this page

Rawatan Stress Untuk Pelajar.

Pengurusan Stress.

“Ketahuilah olehmu dengan mengingati Allah, hati menjadi tenang”

Ketegangan atau stress adalah fenomena biasa dalam kehidupan pelajar.Ia terhasil daripada persekitaran negatif yang tidak sepatutnya ada yang pasti akan memberi seterusnya merangsang tindakbalas yang tegang kepada seseorang pelajar.Contoh keadaan ini adalah kematian orang yang disayangi,kegagalan peperiksaan dll.Hal ini mesti dilayari dengan baik kerana jika ikut perasaan,ia pasti akan membawa pelajar itu kepada penyakit seterusnya yang lebih nyata seperti sakit kepala,insomnia,sakit jantung,darah tinggi dll.

Oleh kerana minda dan badan tidak boleh dipisahkan maka sekiranya minda pelajar terganggu, bahagian badan juga merasakan gangguannya. Pelajar cemerlang perlu menguruskan emosinya. Kita tidak boleh membiarkan masalah yang dihadapinya membengkak daam dada. Lita tidak boleh berdiam diri. Gunakanlah kebijaksanaan untuk mencari punca dan kaedah penyelesainnya. Yang penting kita perlu berterus terang. Berikut adalah masalah yang sering dihadapi oleh para pelajar.

Alkisah terdapat sorang pelajar yang berusia 16 tahun menuntut di tingkatan 4.Dia merupakan anak ke-3  dari 4 orang adik beradik dan amat rapat/manja dengan ayahnya.Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini ayah pelajar tersebut telah berubah perangainya. Dia menjadi pendiam dan tidak mesra dengan mereka. Apa yang pelajar tersebut buat semuanya tidak disukai oleh ayahnya hinggakan ada kalanya ayahnya menjadi marah dan menengking pelajar tersebut tanpa sebab. Keadaan ini menyebabkan pelajar tersebut terganggu. Dia tidak dapat menumpukan perhatian pada pelajarannya. Pelajarannya semakin hari semakin merosot.Dia telah bertukar menjadi pasif yang asalnya seorang pelajar yang peramah serta aktif di dalam kelas.Ini menghairankan guru kelasnya. Satu hari guru telah memanggil pelajar tersebut untuk bertanyakan masalahnya. Pelajar tersebut menangis sambil menjelaskan masalah yang dihadapinya.

Untuk menyelesaikan masalah pelajar itu, gurunya telah berjumpa dengan ayahnya.Guru tersebut telah memberitahu segala permasalahan yang telah dihadapi oleh anaknya tersebut.Barulah ayahnya sedar akan kesilapannya. Sebenarnya dia sedang menghadapi suatu masalah di tempat kerja. Tetapi tidak sepatutnya dia membawa masalah itu balik ke rumah.Dia berjanji kepada guru kelas tersebut akan selesaikan masalah itu secepat mungkin.Dia juga akan sentiasa mengambil berat tentang pelajaran anak-anaknya. Kini baru dia sedar bahawa anak-anaknya adalah sensitif dan sentiasa memerlukan kasih sayang ibu bapa. Sejak hari itu prestasi pelajar tersebut semakin baik dan dia kembali menjadi seorang yang aktif dan periang.

Kes seterusnya adalah berkenaan Ani,pelajar perempuan tingkatan 3 berusia 15 tahun.Dia akan menghadapi peperiksaan PMR tidak lama lagi.Dalam kelasnya,terdapat seorang pelajar yang tak bagus iaitu seorang yang suka jadi batu api kepada pelajar lain.Tugasnya dalam kelas hanyalah melaga-lagakan pelajar lain sehingga mencetus pergaduhan sesama rakan kelas.

Terbaru,terdapat seorang pelajar yang baru masuk ke kelasnya dan tempat duduk betul-betul di belakang Ani.Hubungan Ani denga pelajar baru tersebut sangat rapat dan mereka sering bertukar-tukar fikiran tentang pelajaran.

Perhubungan baik ini telah dipandang serong oleh pelajar tersebut dan dia mula mencari punca untuk merenggangkan hubungan antara Ani dan pelajar baru ini. Bermacam-macam cerita diberitahu kepada pelajar bari itu dan dia memburukkan-burukkan Ani dengan fitnah dan tohmah jahatnya. Usahanya berjaya. Ani dan pelajar baru itu tidak bertegur sapa selama sebulan. Fikiran Ani semakin hari menjadi semakin berserabut. Dia tidak lagi boleh menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran. Kalau boleh dia tidak mahu ke sekolah tapi apakan daya, peperiksaan PMR semakin hampir.

Atas nasihat seorang kawan, Ani memberanikan dirinya berjumpa dengan guru kaunseling sekolahnya, Cikgu Ali. Cikgu Ali telah memanggil pelajar baru dan pelajar yang suka menjadi batu api itu berjumpa dengannya. Dia telah menasihatkan kepada mereka agar menumpukan perhatian pada pelajaran kerana PMR akan menjelang. Cikgu Ali menyedarkan kepada mereka agar bersama-sama membentuk ‘study group’. Usah bergaduh antara satu sama lain kerana ianya merugikan diri sendiri. Cikgu Ali  meyakinkan kepada mereka yang setiap pelajar saling memerlukan antara satu sama lain. Ini kerana tidak semua pelajar mempunyai kebolehan yang memuaskan dan pandai dalam semua matapelajaran. Perbuatan memfitnah dan tidak bertegur sapa adalah dilarang oleh agama. Apalagi jika tidak bertegur sapa lebih dari tiga hari.

Sejak hari itu, pelajar yang suka melaga-lagakan pelajar lain telah berubah sikap dan menjadi baik kepada semua pelajar dalam kelas itu termasuk Ani. Mereka selalu membuat perbincangan, membuat latihan peperiksaan, membuat kerja rumah dan mengulangkaji secara berkumpulan.

Jadi dari dua contoh di atas dapatlah dibuat kesimpulan yang segala kekusutan dan masalah boleh diatasi jika kita berterus terang. Jangan biarkan masalah itu mengganggu pembelajaran kita.

Melihat Masalah Sebagai Sesuatu Yang Positif.

Sebagai pelajar cemerlang kita hendaklah melihat masalah sebagai suatu yang positif. Kita kena ingat tidak ada manusia yang tidak mempunyai masalah. Jika dalam hidup kita, tidak ada masalah yang ditempuhi bermakna kita tidak akan menjadi matang. Untuk menyelesaikan masalah itu, kita mesti mencari penyebab kepada masalah itu. Dengan kata lain apakah punca sebenarnya yang menyebabkan masalah itu timbul. Seringkali apabila kita mengahdapi masalah, apa yang kita nampak ialah tanda-tanda atau simptom kepada masalah tersebut bukannya punca kepada masalah.

Sebagai contoh pelajar yang menghadapi masalah berat badan, untuk mengurangkan berat badannya, pelajar tersebut melakukan berbagai aktiviti senaman dengan harapan berat badannya akan menurun. Sebenarnya tidak melakukan aktiviti senaman bukanlah punca kepada masalah berat badannya. Tetapi punca utama adalah kerana pelajar tersebut tidak mengawal jadual pemakanannya sehari-hari. Mungkin pelajar tersebut suka makan makanan yang banyak lemak atau waktu makan malamnya lewat dan hampir dengan waktu tidur. Atau mungkin juga pelajar tersebut suka tidur selepas makan. Kesemua aspek-aspek ini perlu diambil kira. Tidak guna kita melakukan aktiviti senaman tetapi kita mempunyai tabiat pemakanan yang buruk. Jadi dalam menyelesaikan masalah, pelajar perlu mengenal pasti terlebih dahulu punca masalah tersebut, bukannya simtom-simtom yang timbul akibat masalah yang dihadapi.

Sebagai contoh berikut adalah antara beberapa masalah yang berkaitan dengan aspek pembelajaran yang dikemukakan oleh para pelajar dalam suatu bengkel yang dikendalikan oleh penulis.

  1. Terlalu banyak subjek untuk studi
  2. Tidak ada mood untuk studi
  3. Bila studi cepat mengantuk
  4. Tidak ada kawan lelaki/perempuan
  5. Hilang keyakinan diri
  6. Susah untuk mengingati apa yang dipelajari.

Jika kita amati betul-betul, kita akan dapati kesemua masalah yang dikemukakan di atas bukanlah sebenarnya masalah. Tetapi ialah simtom kepada maslaah itu sendiri. Perkara (a), (e), dan (f) misalnya mungkin timbul akibat pelajar tersebut tidak mengulangkaji dari awal-awal lagi tapi sebaliknya mengamalkan konsep ‘last minute study’. Sekiranya pelajar tersebut mula mengulangkaji dari awal semester lagi, sudah tentu simtom ini tidak timbul. Kalau kita disuruh memakan daging seekor lembu dalam masa satu hari, sudah tentu kita tidak akan dapat menghabiskannya. Tetapi jika daging tersebut kita makan sedikit demi sedikit kemudian yang selebihnya kita simpan dan esoknya kita makan lagi sehinggalah hari-hari yang berikutnya sudah tentu kita dapat menghabiskan daging lembu tersebut. Begitu jugalah dalam kehidupan kita sebagai seorang pelajar, kita tak mungkin dapat mengingati semua subjek yang dipelajari dalam masa yang singkat. Kesannya kita tidak yakin kepada diri sendiri untuk lulus cemerlang dalam peperiksaan.

Begitu juga dengan perkara(b) dan (c). Mungkin kita tidak meletakkan matlamat kukuh dalam diri kita. Kita hanya studi ikut mood. Sebab tidak ada matlamat yang hendak dicapai. Tetapi untuk pelajar cemerlang, mereka akan mempunyai matlamat yang perlu dicapai dan segala masalah yang timbul perlulah diatasi. Tidak ada kawan lelaki atau perempuan bukanlah suatu masalah kepada diri seorang pelajar. Pelajar perlu ingat keutamaannya sebagai seorang pelajar. Sekarang bukanlah masa untuk mempunyai seorang teman yang setia. Tumpukan segala perhatian kepada pelajaran kerana pelajaranlah merupakan pasport kepada kejayaan hidup. Jodoh dan pertemuan adalah di tangan Allah dan sesungguhnya Allah jadikan makhluknya berpasang-pasangan. Mungkin juga pelajar tidak mempunyai pasangan lelaki atau perempuan kerana mempunyai sifat-sifat pemalu dan pendiam. Jadi inilah masalah sebenarnya kenapa pelajar tidak mendapat kawan lelaki atau perempuan. Jika masalah ini dapat diatasi sudah tentu perkara ini tidak timbul lagi.

Pelajar Cemerlang Bijak Menyelesaikan Masalah.

Sebagai pelajar cemerlang kita perlu tahu bahawa ada banyak lagi cara untuk menyelesaikan masalah. Gunakanlah kaedah yang bersesuaian dengan diri kita. Kita hendaklah berfikiran positif dan terbuka. Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Kita perlu menganggap masalah itu sebenarnya adlaah untuk mematangkan diri kita. Kita tidak boleh cepat berputus asa. Bila ada masalah kita kena releks. Minta pertolongan Allah S.W.T, kita solat hajat minta Allah tunjukkan jalan penyelesaiannya. Kita perlu beritndak secara waras dan rasional.

Kadang-kadang masalah tidak boleh diatasi oleh diri sendiri. Kita perlu minta bantuan rakan baik kita, pensyarah, mentor atau kaunselor. Kadangkala banyak masalah sebenarnya berpunca dari komunikasi kita sendiri. Untuk menambahkan keyakinan diri, kita perlu meningkatkan kebolehan komunikasi. Jadi kita perlu ingat jika masalah tidak diatasi akan mengakibatkan kesan buruk kepada diri kita sebagai seorang pelajar. Masalah yang terlalu berat akan menyebabkan tekanan emosi. Pelajar cemerlang tidak akan badan dan mindanya lemah tidak berdaya. Jika ini berlaku, dirinya akan diserang olehbebagai-bagai penyakit seperti imsomnia, histeria, sakit jantung, sakit kepala dan lain-lain lagi.

Terdapat banyak tanda-tanda apabila pelajar sedang mengalami tekanan emosi. Salah satunya ialah imsomnia. Pelajar juga akan mengalami anorezian iaitu tidak boleh mengawal masa makan, kerap membuang air, kerap berpeluh, ketegangan di bahagian otot-otot dan menjadi hiperaktif. Kesannya pelajar tidak yakin kepada diri sendiri, tidak berorientasi, mudah kecewa dan apethik. Pelajar juga akan merasa tertekan yang amat sangat, menjadi terlalu bimbang walaupun perkara yang remeh-temeh, mudah tersinggung dan cepat marah. Baginya semua yang orang lain buat semuanya tidak kena.

Pelajar Cemerlang Bijak Mengatasi Tekanan Emosi.

Bagi pelajar yang mengalami tekanan emosi yang teruk akan menunjukkan perubahan yang ketara. Jika sebelum ini dia adalah pelajar yang aktif, suka bercakap dan periang, maka dia akan bertukar menjadi pendiam, tidak suka bercakap, selalu memandang kesalahan orang lain, hilang motivasi dan menunjukkan keadaan bingung dan lesu.

Sebagaimana ditekankan berulang kali, setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Pelajar cemerlang tidak akan membiarkan masalah tekanan emosi menguasai dirnya.

Berikut Adalah Beberapa Kaedah Penyelesaian Yang Boleh Dilakukan Untuk Mengurangkan Tekanan Emosi Ini.

1. Kita hendaklah sedar bahawa segala masalah yang timbul adalah atas kuasa dan keizinan Allah. Setiap kesusahan yang dihadapi adalah merupakan ujian yang diberikan oleh Allah. Setiap manusia akan berdepan dengan masalah, Cuma yang berbeza sama ada masalah itu kecil atau besar. Kita perlu yakin, masalah akan mematangkan hidup kita. Janhan terlalu membiarkan masalah menguasai fikiran kita. Relaks dan buatlah kerja seperti biasa seolah-olah kita tida menghadapi masalah.

2. Kita perlu mengenal pasti dan mencari punca yang menyebabkan berlakunya masalah itu. Mungkin ianya bukanlah sebenarnya masalah, tetapi hanyalah tanda-tanda sahaja. Sebagai contoh,ada seorang pelajar yang selalu lewat sampai ke sekolah kerana tiap-tiap hari dia bangun tidur pada pukul 7.00 pagi. Sebenarnya bangun tidur lewat bukanlah punca sebenar murid tersebut selalu sampai lewat ke sekolah. Apabila ditanya didapati tiap-tiap malam pelajar tersebut tidur pukul 1-2 pagi. Ini kerana pada pukul 8-11 malam digunakan untuk menonton TV. Hanya selepas pukul 11 malam baru dia mula belajar. Jadi masalah sebenar pelajar ini adalah dia tidak menguruskan masa dengan betul. Sepatutnya masa 8-11 malam digunakan untuk mengulangkaji pelajaran dan mula tidur pada jam 11.00 malam. Jadi dengan mencari punca masalah, kita pasti dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Ada juga masalah yang boleh diselesaikan seandainya kita boleh mengawal perasaan kita. Contohnya perasaan malu apabila dimarahi oleh guru kerana tidak membuat kerja rumah yang disuruh. Ia sebenarnya boleh menenkankan perasaan kita dan menimbulkan pelbagai perkara yang tidak diingini. Tetapi jika kita tenangkan perasaan dan fikirkan balik yang ianya adalah kesilapan kita sendiri yang tidak disengajakan maka masalah ini boleh diselesaikan. Lain kali kita akan menulis dalam buku catitan khas segala jenis kerja rumah yang perlu diselesaikan. Sedarkah kita jika kita tidak menghadapinya dengan fikiran yang tenang, kita akan bertindak sesuatu yang hanya akan menimbulkan masalah lain pula seperti ponteng sekolah, menipu ibu bapa, tertinggal dalam pelajaran atau mungkin hilang motivasi untuk terus belajar.

3. Seandainya kita telah mengenal pasti masalah dan puncanya, kita perlu cari jalan penyelesaiannya. Kita perlu menceritakan segala masalah, tekanan atau bebanan yang dihadapi kepada orang lain. Ketika ini, kita perlukan bimbingan, nasihat dan panduandari rakan sebaya, ibu bapa, adik beradik, guru kelas atau guru kaunseling. Kita perlu berbincang dengan mereka. Kita harus sedar ada berbagai jalan penyelesaian yang boleh diambil dan mereka sentiasa ada untuk membantu kita.

4. Ada pelajar yang apabila menghadapi masalah atau tekanan perasaan suka melepaskan tekanan perasaan tersebut kepada orang lain seperti kawan-kawan, ibu bapa, adik beradik dan saudara mara. Mereka akan menjadi pelajar pemarah, bersikap kasar dan suka bergaduh.

Ada berbagai cara untuk melepaskan tekanan perasaan. Pelajar boleh salurkan perasaan yang tidak tenteran dengan melakukan berbagai aktiviti sukan seperti berjogging, atau berjalan kaki sambil menghirup udara nyaman di taman-taman bunga. Kita juga boleh melihat program-program TV yang bercorak jenaka, atau kartun. Pelajar juga boleh mnedengar muzik yang lembut dan merdu sambil melelapkan mata. Secara perlahan-lahan yakinlah setiap manusia pasti menempuh masalah dan masalah akan mendewasakan kita.

5. Seringkali pelajar perlu melakukan beberapa kerja dalam satu masa. Keadaan ini jika tidak ditangani dengan fikiran yang tenang akan menyebabkan pelajar tertekan. Untuk menyelesaikan masalah ini pelajar perlu selesaikan kerja satu persatu dan secara berhati-hati. Senaraikan kerja-kerja yang perlu diselesaikan ikut keutamaan. Peruntukkan masa yang bersesuaian. Bayangkan seolah-olah pelajar berada dalam bilik peperiksaan. Masa hanya ada 3 jam dan pelajar perlu menjawab sebanyak lima soalan. Begitu juga dalam menyelesaikan masalah ini. Selesaikan kerja yang perlu dibuat terlebih dahulu satu persatu dengan tenang dan tidak tergesa-gesa. Sebenarnya segala masalah akan dapat diselesaikan jika dilakukan dengan sistematik, tenang dan teratur. Jangan mudah panik atau kelam kabut kerana kita pasti tidak dapat memilih kaedah penyelesaian yang terbaik.

6. Salah satu yang agak berkesan untuk menyelesaikan masalah terutamanya masalah emosi ialah dengan menggunakan ransangan psikologi. Kita tetapkan satu ganjaran untuk siri kita sendiri. Contohnya jika kita dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi maka kita akn menjadi pelajar cemerlang dan dapat masuk universiti. Pelajar juga boleh meransang diri sendiri dengan mengatakan jika aku dapat menyelesaikan masalah ini, aku akan pergi berehat atau melancong ke tempat-tempat yang ingin dilawati seperti Pulau Langkawi, Pulau Sentosa di Singapura,Medan Indonesia atau tempat-tempat yang menjadi impian pelajar untuk melawatnya.

7. Kaedah penyelesaian terbaik yang patut dilakukan selain kaedah-kaedah di atas ialah dengan memohon dan meminta pertolongan dari Allah S.W.T. kesediaan kita untuk berhadapan dengan masalah terutamanya tekanan perasaan adalah bergantung kepada kekuatan jiwa kita sendiri. Jiwa yang kuat adalah berpunca dari keyakinan dan hubungan yang rapat dengan Allah S.W.T. pelajar yang kuat hubungan hatinya dengan Allah sentiasa mencari hikmah bagi setiap masalah yang dihadapinya. Apabila menghadapi sesuatu masalah kita tidak akan panik dan berfikir yang bukan-bukan. Kita akan bertindak secara tenang dan berfikir secara rasional untuk menyelesaikan masalah tersebut. Seandainya masalah itu masih juga tidak dapat diselesaikan, maka kita perlu memohon dan berserah sepenuhnya kepada Allah. Kita hendaklah sentiasa meminta pertolongan dari Allah agar diberikan hati yang tenang, riang dan dijauhkan diri dari unsur-unsur yang boleh mengongkong perasaan. Jiwa yang riang dan tenang akan menghasilkan fikiran dan ingatan yang cerdas serta menjauhkan diri daripada tekanan perasaan. Pelajar  juga perlu memperbanyakkan zikir, membca ayat-ayat suci Al-Quran dan menunaikan solat.

Teknik Senaman Untuk Mengurangkan Stress.

Di samping itu, pelajar juga boleh melakukan senaman untuk mengurangkan tekanan perasaan yang dialami. 10 aktiviti senaman berikut akan memberikan pelajar regangan tubuh dan memastikan darah dipam dengan sempurna. Senaman ini hanya mengambil masa selama lima minit dan pelajar boleh melakukannya pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

1. Pusing Kepala.

Pelajar memulakanaktiviti senaman dengan merenggangkan kaki lebar sedikit dari bahu, dengan kedudukan kaki agak keluar. Perlahan-lahan tundukkan kepada kedepan, pusingkan ke kiri, ke belakang dan ke kanan. Gunakan empat kiraan,lakukan dua kali setiap arah.

2. Angkat Bahu.

Langkah kedua ialah pelajar mengangkat sebelah bahu hingga ke paras telinga kemudian turunkannya. Lakukan lima kali bagi setiap belah bahu.

3. Regangan Pinggang.

Langkah ketiga, pelajar depakan kedua-dua belah tangan pada paras bahu. Bengkokkan badan kekiri seberapa jauh yang boleh, dengan menaikkan tangan kanan sehingga melepasi kepala. Perhatikan tapak tangan, kira sampai empat dan tegakkan badan semula. Lakukan pula di bahagian kanan, kira sampai empat sekali lagi. Kemudian kira sampai lima bagi setiap sebelah badan tanpa berhenti.

4. Regangan Paha Sebelah Dalam.

Langkah keempat pelajar berdiri sambil meregangkan kaki sementara tangan diletakkan pada pangkal paha. Sekarang condongkan ke kanan, bengkokkan kaki sebelah kanan tetapi pastikan kaki kiri dalam keadaan lurus sementara pelaajar menyilangkan kedua-dua pergelangan di atas kepala. Dengan berada pada kedudukan asal, bawa semula tangan ke paha. Kira lima untuk kedua-dua belah bahagian.

5. Kincir Angin.

Langkah kelima pelajar tunduk ke hadapan dan meletakkan tangan dekatlantai. Pusingkan seluruh bahagian tubuh di sebelah atas ke kanan, tegak dan kemudian ke kiri, lakukan pusingan “kincir angin”. Pusingkan badan bermula dari bahagian pinggang dan pastikan kepala antara lengan untuk mendapatkan pusingan tubuh sebelah atas lengkap. Lakukan lima kali dalam setiap arah, tetapi dengan perlahan-lahan untuk mengelakkan pelajar dari merasa pening.

6. Meluruskan Kaki.

Langkah keenam, pelajar membongkokkan ke depan. Bengkokkan lutut dan letakkan tapak tangan atas lantai depan kaki. Pandang ke depan. Sekarang rendahkan rendah kan kepala dan luruskan kaki tetapi pelajar tidak perlu bimbang jika tidak dapat meluruskan kaki sepanjang masa. Jika pelajar rajin bersenam, aktiviti ini boleh dilakukan dengan mudah. Lakukan 10 kiraan, bengkokkan lutut sedikit kemudian perlahan-lahan luruskan semula.

7. Menghulurkan Tangan.

Langkah ketujuh, pelajar merenggangkan kaki sedikit, dan gerakkan badan kepada kaki kiri, kaki kanan bersudut tepat dengan tumit kaki kiri. Hulurkan tangan kedepan seolah-olah pelajar ingin menerima sesuatu dengan melakukan huluran ke depan yang mudah dan kembali ke kedudukan asal. Bengkokkan kaki kiri manakala kaki tangan lurus. Lakukan 10 kali dalam setiap arah.

8. Regangan Jazz.

Langkah kelapan, selepas setiap set 10 senaman hulurkan tangan, pelajar merapatkan kaki dan dengan perlahan-lahan rendahkan kepala kepada lutut. Pegang pergelangan kaki atau betis dan dengan perlahan-lahan dekatkan kepala ke lutut. Jangan memaksa regangan ini, dan jangan cepat-cepat kembali ke kedudukan asal.

Relaks dan tunggu sehingga kiraan empat serentak dengan pelajar menarik nafas dalam-dalam. Sekarang bangun perlhan-lahan dan berdiri semula.

9. Berlari Setempat.

Langkah kesembilan, pelajar jongketkan tumit kaki berulang kali seperti berlari setempat sambil menggerakkan tangan. Bayangkan diri pelajar seperti anak kecil yang berlari bebas di padang. Lakukan sebanyak 50 kiraan.

10. Menendang Kedepan.

Langkah terakhir, pelajar meneruskan berlari setempat sambil menendang kaki kanan ke depan dengan satu tendangan kecil dan tolakkan tangan kiri ke depan. Kemudian tendang kaki kiri dan tolak dengan tangan kanan. Lakukan sebanyak 50 kiraan.

(Senaman mudah mengurangkan tekanan ini dipetik dari Quick Relief from “ High Anxiety:An Energizing Five Minute Routine” dalam The Complete Guide To Your Emotions And Your Health).

RUMUSAN.

1. Ketegangan atau stress jika tidak dikawal ianya boleh menyebabkan berbagai jenis penyakit.

2. Pelajar cemerlang akan melihat masalah sebagai suatu yang positif.

3. Untuk mengelakkan stress pelajar perlu memperbanyakkan zikir, membaca ayat-ayat Al-Quran dan menunaikan solat.

4. Untuk mengurangkan tekanan pelajar boleh melakukan senaman.

5. Segala masalah dan kekusutan boleh diatasi jika pelajar berterus terang.

6. Pelajar cemerlang tahu bahawa ada banyak cara untuk menyelasaikan masalah.

Share on FacebookTweet about this on TwitterPin on PinterestShare on RedditDigg thisShare on LinkedInShare on StumbleUponShare on Google+Email this to someoneShare on TumblrBuffer this pageShare on VKShare on YummlyFlattr the authorPrint this page